Tuesday, July 17, 2012

Kebejatan Sosial Remaja;Di Mana Noktahnya?



Kes-kes melibatkan remaja bawah umur semakin menjadi-jadi ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Dalam dunia serba moden hari ini, nilai moral,agama dan keakraban kasih sayang dalam keluarga semakin terhakis. Remaja cenderung mencari kebebasan sementara dan terjebak dalam permasalahan sosial yang membimbangkan.

Petikan daripada akhbar Harian Metro menyatakan bahawa Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejak dua tahun lalu, seramai 1,383 kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun hilang dan belum dapat dikesan. Siasatan mendapati kehilangan mereka bukan membabitkan kes culik, tetapi disebabkan faktor lain.

Antara punca dikenal pasti ialah mereka terpengaruh dengan kawan, melarikan diri kerana mengikuti kekasih dan mahu hidup bebas tanpa kongkongan keluarga. Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, kes salah laku di kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan tidak pernah selesai serta menuntut perhatian serius semua pihak terutama ibu bapa.

Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Adalah tidak wajar untuk kita menuding jari mencari salah siapa kerana setiap daripada kita sebagai insan punya tanggungjawab tersendiri dalam memastikan remaja tidak terus hanyut dalam dunia khayalan mereka. Remaja perlukan bimbingan dan perhatian. Berbalik kepada akar umbi kehidupan, pegangan agama dan hubungan kekeluargaan yang erat mungkin boleh mengurangkan permasalahan sosial dalam kalangan remaja. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab juga, kita harus selalu memberi peringatan kepada mereka agar usia remaja ini tidak wajar dipersiakan.

Statistik yang dikeluarkan dalam Buletin Utama bertarikh 16 Julai 2012 menunjukkan 18000 orang remaja bawah umur didapati hamil di mana 4000 daripadanya hamil anak luar nikah. Sesuatu yang sangat membimbangkan dan harus ditangani bersama. Ke mana hilangnya iman dan rasa malu dalam kalangan mereka? Adakah dengan menubuhkan lebih banyak pusat perlindungan dan pemulihan akhlak boleh menyelesaikan isu ini? Mungkin tidak kerana apa yang penting adalah pencegahan.

Duhai remaja..ingatlah, maruahmu begitu berharga dan kamulah yang akan mencorak peradaban negara di masa hadapan. Janganlah mengejar sesuatu yang hanya memberi nikmat sementara. Kembalilah ke pangkal jalan dan berubahlah demi masa depan anda.
Kini, pelbagai saluran boleh digunakan jika anda menghadapi krisis dalam diri. Temuilah mereka yang boleh membantu anda sebelum terlewat...

*jaga diri,hiasi peribadi...*

No comments:

Post a Comment