Tuesday, May 8, 2012

SEBIJI TEMBIKAI DI HARI GURU..


Sebiji Tembikai di Hari Guru...
Salam Inspirasi Buat Semua....
Setiap tahun apabila tibanya Hari Guru, pasti saya terimbau kenangan ketika menjadi guru ganti di sebuah sekolah rendah. ...Kisah ini merupakan ulang siar dan pernah saya coretkan dalam entry pada Tahun 2009.Ia adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup saya...
Ceritanya bermula begini...... Ketika itu saya masih menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ibukota..Ketika cuti semester, saya berpeluang menjadi guru ganti di sebuah sekolah luar bandar berhampiran kampung kelahiran saya. Itulah kali pertama saya bergelar GURU. Memang berbeza dengan apa yang saya lalui kini. Baik dari segi kemudahan dan corak hidup pelajarnya. Ketika itu, saya berhadapan dengan pelajar yang jauh dari pengaruh sosial seperti kehidupan kita di kotaraya...ruang lingkup mereka hanyalah paya dan belukar. Aktiviti harian mereka juga tidak tertumpu kepada permainan video dan pelbagai gajet canggih seperti sekarang. Kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan membantu ibu bapa di kebun, menangkap ikan di paya atau menemani ibu bapa menjual hasil dusun apabila tiba musim buah..Dipendekkan cerita, saya berpeluang untuk menjadi GURU ketika itu untuk tempoh 2 bulan iaitu bermula dari bulan Mac hingga hari terakhir saya pada 16 Mei yakni jatuh pada sambutan perayaan Hari Guru. Seperti kebiasaan, pada hari itu, saya berkesempatan menerima ucapan Selamat Hari GURU buat pertama kalinya dari pelajar-pelajar saya.....(Mungkin sebab itu juga saya jatuh cinta pada kerjaya ini...) Ucapan dan pengalaman yang tak seberapa itu membuatkan saya rasa ada sesuatu pada kerjaya guru ini yang sukar untuk diinterpretasikan. Seperti kebanyakan guru lain, saya juga turut berkesempatan menerima hadiah daripada pelajar-pelajar seperti mana guru-guru yang lain...Ketika kami sedang berkumpul di kelas pada pagi Hari GURU itu saya didatangi oleh seorang pelajar kelas saya..."Cikgu...Yusof nak jumpa cikgu tapi dia malu...tu cikgu ada kat belakang pintu"kata seorang pelajar kepada saya.(Yusof adalah seorang pelajar yang lemah dalam akademik dan masih tidak boleh membaca dengan lancar walaupun sudah berusia 11 tahun. Beliau datang daripada keluarga yang miskin)...saya menjenguk ke pintu kelas dan mendapati memang Yusof berada di luar pintu...Saya memanggil Yusof dan menjemput dia masuk ke kelas. Dalam keadaan tersipu-sipu..Yusof melangkah masuk lalu datang ke arah saya...dia menghulurkan sebuah bungkusan beg plastik yang telah lusuh dan di dalamnya ada sebiji buah tembikai kecil.."Cikgu, Selamat Hari GURU...tembikai ni mak saya tanam..hadiah untuk cikgu.saya tak ada duit nak beli macam kawan-kawan...sebab tu saya malu nak masuk tadi.."
sepasang kasut lusuh yang dipakai setiap hari...
Tersentuh hati saya melihat anak kecil ini, lebih-lebih lagi apabila membayangkan keadaan keluarga dan rumahnya yang tidak sempurna..Pakaian sekolahnya yang telah kekuningan serta songkok lusuh dan kasut yang koyak di kedua-dua belah.."Terima kasih Yusof"..ucap saya dalam nada sebak...tidak dapat saya gambarkan perasaan saya ketika itu...setelah saya kembali ke universiti, saya mendapat berita Yusof mengalami sakit buah pinggang...di mana agaknya anak didik saya itu sekarang? Kadangkala saya terfikir..Memang Yusof tidak dikurniakan kepandaian seperti orang lain tetapi hatinya mungkin lebih mulia daripada kita....Mudah-mudahan ALLAH memberikan dia kesihatan dan kesejahteraan...AMIN...Kisah ini akan menjadi memori indah dalam perkhidmatan saya sebagai seorang GURU dan akan saya kenang sehingga ke akhir hayat dan pasti suatu hari akan saya kongsikan dengan anak-anak saya pula agar mereka tahu untuk menilai jasa dan pengorbanan mereka yang bergelar GURU.. Mungkin rakan-rakan di luar juga punya pengalaman menarik yang boleh dikongsi bersama....

SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA WARGA PENDIDIK..

Salam Inspirasi.....
Cikgu Ezlin

No comments:

Post a Comment